Jumaat, 29 Julai 2011

Zina dan faktor terjadinya..........

Assalamualaikum kepada semua sahabat....

Entah kenapa petang-petang Jumaat, terlintas fikiran untuk menaip sesuatu di sini berkenaan apa yang terjadi sekarang.

Suasana petang hari Jumaat yang tenang dan menggamit memori ini banyak membuatku berfikir tentang suasana yang berlaku dikalangan saudara-saudara seagama dengan kita semua.

Sekarang ini kita banyak dihebohkan dalam media massa tentang 1 gejala yang negatif iaitu gejala membuang bayi. Banyak telah didedahkan gejala ini dengan penemuan bayi sama ada dalam keadaan hidup ataupun mati.

Gejala ini banyak terjadi kerana banyaknya berlakunya penzinaan. Sebelum pergi lebih jauh, marilah sama-sama mengetahui maksud zina itu sendiri. Tajuk zina ini merupakan tajuk yang pernah saya mengkaji ketika menjalankan tugasan atau assingment untuk subjek Prosedur Jenayah.

Dalam sebuah buku yang pernah menjadi rujukan saya iaitu Fiqh Jenayah Islam, zina mempunyai maksudnya yang tersendiri iaitu persetubuhan yang haram antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan yang sah di sisi syarak.

Hukum zina sudah semestinya haram kerana ianya perbuatan yang keji dan merosakkan keturunan sepertimana dalam al Quran surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya perbuatan zina itu merupakan perbuatan yang keji dan satu jalan kejahatan.

Zina juga mempunyai jenis-jenisnya iaitu zina hati, zina mata, zina lisan dan sebagainya. Zina hati boleh berlaku kerana fikiran telah dihasut dengan perkara yang kotor seperti memikirkan perkara yang lucah. Dan apabila ini berlaku dalam fikiran, maka seseorang telah melakukan zina hati.

Zina lisan boleh terjadi dengan mengucapkan kata-kata yang kotor serta lucah dan zina mata adalah melihat perkara-perkara yang haram seperti melihat seseorang yang tidak menutup aurat...itulah menyebabkan berlakunya zina dalam kalangan masyarakat kita.

Kenapa perbuatan zina ini boleh berlaku.?? Itulah persoalan yang berlaku dalam diri semua. Zina ini boleh berlaku kerana kurangnya ilmu dalam diri. Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu agama. Itulah yang menjadi kekurangan dalam diri kita semua. Dengan ilmu, kita dapat menghindarkan diri dari perbuatan maksiat seperti zina.

Kurangnya perhatian daripada keluarga terutamanya ibu bapa sedikit sebanyak mempengaruhi gaya dan tingkah laku anak-anak yang meningkat remaja. Anak-anak inginkan kasih sayang daripada ibu bapa dengan ibu bapa mengambil tahu perihal mereka. Dan apabila kurangnya kasih sayang, maka jiwa anak-anak terutamanya anak-anak remaja akan memberontak dan mengambil jalan singkat seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Gejala zina juga boleh terjadi apabila banyaknya kes-kes anak perempuan lari dari rumah mengikut teman lelaki sehingga berlakunya perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku..Dan apabila ianya terjadi, maka barulah hendak menyesal...teringat kata-kata, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi.

Mudah-mudahan kita dapat menjaga kehormatan diri dan orang lain seperti mana telah dinyatakan oleh Islam.


Rabu, 27 Julai 2011

kematian dan ramadan.....

Assalamualaikum dan selamat malam......waktu malam yang hening dimana baru sahaja pulang dari surau pejabat kerana menghadiri majlis tahlil yang dianjurkan....

Waktu malam juga merupakan waktu yang sesuai untuk melakukan amal ibadat kerana di dunia ini tiada istilah rehat bagi orang-orang mukmin kerana rehat orang-orang mukmin adalah kematian. Adakah kita sebagai manusia sudah bersedia menghadapi kematian???? Oleh itu, hendaklah kita bersedia menghadapi kematian kerana kematian itu tidak menunggu dari segi masa, hari untuk berlakunya..Kematian itu juga tidak mengira orang itu tua, muda, kanak-kanak mahupun bayi sekalipun walaupun beberapa minit dilahirkan, dan sudah sampai ajal bayi itu, tetap kembali kepada Penciptanya iaitu Allah swt.

Teringat pada beberapa bait rangkap lirik lagu kumpulan nasyid Far East yang berbunyi:

"kehidupan disini bukanlah suatu khayalan, tetapi ianya sebuah kejadian".

Apa yang dimaksudkan dengan lirik diatas.?? Kematian itu benar-benar berlaku dan kematian itu tidak mengira sesiapa mahupun peringkat umur. Sejak akhir-akhir ini banyak berlaku kematian yang dilaporkan. Ada kematiannya seperti mati lemas, mati kemalangan, mati dibunuh dan bermacam-macam lagi cara kematian yang dapat didengari.

Dan apabila ianya terjadi, maka akan muncul perasaan iaitu perasaan takut. Takut kerana tidak bersedia menghadapi kematian atau tidak banyak amal ibadat yang dilakukan untuk menghadapi kematian tersebut.

Marilah semua sahabat-sahabatku yang diluar sana itu, bersama-sama meningkatkan amal ibadat terutamanya pada bulan puasa yang akan menjelang tidak lama lagi. Ini kerana bulan puasa mempunyai kelebihan dan keberkatan yang tidak terhingga dan mesti direbut oleh semua untuk mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Insya Allah.

Dan mudah-mudahan Ramadan pada tahun ini merupakan ramadan yang terbaik dan mesti dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Dalam bulan ramadan juga digalakkan kepada kita memberi makan kepada orang yang berpuasa supaya kita mendapat ganjaran seperti orang yang berpuasa dan juga membantu orang-orang yang susah supaya mereka pun dapat berpuasa dan berhari raya seperti orang lain.

Ramadan juga melatih kita supaya bersabar atas setiap ujian yang berlaku kerana setiap ujian mempunyai hikmah yang tersendiri. Cuba kita lihat, beberapa ramai orang yang kurang sabar pada bulan-bulan biasa tetapi pada bulan puasa, berlaku perubahan iaitu bersabar atas ujian Allah?? Cuba kita fikir-fikirkan.

Dan yang paling penting adalah, syaitan dibelenggu dan diikat pada bulan puasa supaya tidak mengganggu orang yang berpuasa mempertingkatkan amalan pada bulan yang mulia ini. Apabila syaitan dibelenggu, maka manusia berasa aman dan tenang serta dapat melakukan amalan yang soleh dengan lebih tekun lagi. Dan sekiranya ada kes -kes yang berlaku pada bulan itu, bukan syaitan yang menghasutnya....ini adalah kelakuan pada diri sendiri atau lebih dikenali sebagai...NAFSU...

mudah-mudahan menjadi pedoman dan iktibar......


Jumaat, 22 Julai 2011

Marilah Berpuasa

Assalamualaikum wbt kepada sahabat-sahabat yang dikasihi dan dirahmati Allah swt......

Suasana pagi menerjah dalam diri dan sekeliling kita. Marilah sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Pencipta kita iaitu Allah SWT kerana masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk terus menghirup udara yang segar dan dipanjangkan umur untuk bersama-sama orang yang dicintai.

Dan tidak lupa juga, marilah bersama-sama memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga baginda. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat dari Baginda SAW di akhirat kelak....Insya Allah.

Setelah berehat dari menulis sebarang artikel atau mutiara ilmu disini, marilah kita bersama-sama untuk menjadi insan yang soleh dan solehah semoga apa yang dilakukan atas muka bumi Allah ini diterima dan dikongsi oleh semua.

Sahabat-sahabatku yang dirahmati dan dikasihi oleh Allah...

Tidak lama lagi akan datang satu bulan dimana bulan itu mengajar erti ketabahan, erti kesabaran, erti penyayang dan pelbagai erti lagi lah yang tidak dapat dirungkai dalam diri kita. Nak tahu apakah bulan itu??? Bulan itu dinamakan sebagai Ramadan Al Mubarak. Bulan Ramadan merupakan bulan yang kesembilan dalam kalendar Islam.

Sebelum kita pergi lebih jauh lagi....marilah kita bersama-sama berfikir apa berpuasa yang sebenarnya...Ada yang mengatakan puasa itu sekadar menahan lapar dan dahaga, ada yang macam itu, macam ini dan macam-macam lagi. Memang betul puasa itu menahan diri dari lapar dan dahaga...tetapi bukan itu sahaja..berpuasa ini menahan daripada kita melakukan pelbagai perkara yang tidak disukai oleh Allah dan manusia.

Contohnya, pada bulan biasa kita boleh makan pada waktu siang...tetapi pada bulan Ramadan, kita tidak boleh melakukan perkara yang sedemikian kerana ini akan menyebabkan puasa terbatal atau hilangnya pahala puasa. Tetapi, bulan puasa bukan sahaja tidak boleh makan pada waktu siang hari, malah melatih kita supaya menahan diri dari melakukan perkara seperti bercakap kosong, berbohong, dan sebagainya.

Pada bulan itu juga, kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat kepada Allah bagi menunjukkan rasa kasih dan cinta kepada Pencipta yakni Allah. Ini dapat menambahkan pahala yang berganda pada bulan tersebut.

Sahabat-sahabatku yang dikasihi dan dirahmati Allah,

Saya juga ingin mengajak sahabat-sahabat yang mengenali diri saya dan juga mengajak diri saya ini supaya menyambut bulan Ramadan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Kegembiraan kerana dapat menyambut kedatangan bulan Ramadan dan kesyukuran kerana Allah memanjangkan usia kita untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun ini. Mudah-mudahan Allah memanjangkan umur kita untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan..Insya Allah.

Dan sebelum berakhir....ingatlah, bahawa puasa ini dapat menjadikan diri kita sebagai seorang mukmin yang soleh dan solehah dan mudah-mudahan segala amal ibadat yang dilakukan sepanjang tahun ini terutama bulan Ramadan diterima dan diberkati Allah swt....Insya Allah...









Selasa, 19 Julai 2011

Pernikahan yang berkat...

Assalamualaikum wbt kepada semua yang mengenali diri ini.....

Dalam suasana bahang Tilawah al Qur'an Peringkat Kebangsaan yang masih berlangsung ini, dan ditambahkan dengan suasana dalam bulan Sya'aban yang kini akan sampai pada penghujungnya dan bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam diseluruh dunia iaitu bulan Ramadan Al Mubarak, bulan yang penuh barakah. Marilah kita sama-sama menyambut kehadiran bulan Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana Allah telah memanjangkan usia kita untuk bersama-sama dalam bulan ramadan yang mulia.

Dalam suasana pagi dan langit yang tidak seberapa panas ini, saya ingin membawakan 1 topik yang boleh dikatakan menarik tetapi penting untuk kita semua iaitu pernikahan yang berkat. Apa yang dimaksudkan dengan pernikahan yang berkat???  Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, marilah kita sama-sama mengetahui apa maksud pernikahan atau yang disebut sebagai perkahwinan.

Dari sudut bahasa, perkahwinan itu sendiri bermaksud penyatuan antara 2 hati atau 2 perkara atau bersatunya roh dan badan untuk kebangkitan.

Manakala dari sudut istilah, perkahwinan atau pernikahan bermaksud, telah dihalalkan apa yang haram ke atas lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dalam akad pernikahan bagi melahirkan zuriat yang diberkati oleh Allah.

Pernikahan yang diberkati adalah pernikahan yang mana mahar yang telah ditetapkan adalah rendah dan tidak membebankan orang yang ingin melangsungkan pernikahan. Ini kerana pernikahan itu sendiri merupakan sunnah Rasulullah SAW. Ini kerana perkahwinan dapat menenangkan jiwa antara lelaki dan perempuan dan menyelamatkan diri lelaki dan perempuan terjerumus ke lembah maksiat.

Pernikahan mengajar erti tanggungjawab kepada satu sama lain. Tanpa tanggungjawab, maka pernikahan akan menjadi pincang dan akan berlaku segala krisis rumah tangga yang sepatutnya berlaku. Dalam pernikahan, terdapat 2 tujuan dan tujuan itu amat penting. 

Yang pertama, tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan zuriat. Memang tidak dinafikan bahawa zuriat itu adalah bukti cinta dan kasih antara pasangan suami isteri dan zuriat itu juga adalah penyumbang rezeki dan keharmonian pasangan dalam melayari bahtera rumah tangga. 

Dan tujuan yang kedua adalah menjaga diri dari perbuatan yang haram. Sesungguhnya perkahwinan itu bertujuan menghindarkan diri lelaki dan perempuan dari terjerumus dalam kancah maksiat. Dan apabila mereka bernikah, maka apa yang selama ini menjadi haram atas mereka kini menjadi halal. 

Untuk menjadikan pernikahan itu berkat, ketika majlis walimatulurus atau kenduri berlangsung, maka hendaklah berpakaian yang menepati syarak seperti menutup aurat, bertudung dan sebagainya. Sekiranya tidak melakukan apa yang disuruh, maka pernikahan itu tidak mendatangkan keberkatan sepertimana yang telah dianjurkan oleh Islam. 

Sebelum berakhir, saya akan letakkan video sebagai tema















Isnin, 18 Julai 2011

Pengenalan....

Awal qalam dimulakan dengan bismillah....selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang taat akan perintah Allah dan Rasul. Insya Allah.

Sebenarnya tiada apa-apa yang perlu dicoretkan disini kerana tidak ada idea lagi untuk membuat sesuatu karya. Kebetulan saya telah mendapat idea sedikit untuk mencoretkan sesuatu perkara iaitu kepentingan kita dalam berilmu.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah swt,
Ilmu merupakan suatu medium untuk memajukan diri kita dari tidak tahu apa-apa hinggalah menjadi pakar dalam sesuatu bidang.

Ilmu yang hendak dipelajari mestilah mempunyai guru kerana orang yang menuntut ilmu itu tanpa guru, maka gurunya itu adalah syaitan. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam orang yang sesat.

Dalam al quran surah al Alaq ayat 1-5 yang bermaksud:


1. bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
2. ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
5. ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya




Dan juga dalam sebuah hadis yang bermaksud:


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.


Apa yang boleh dihuraikan pada al Quran dan Hadis adalah, orang yang berilmu akan dihormati oleh  penduduk bumi dan langit. 


Orang yang cintakan ilmu adalah orang yang bersusah payah untuk mendalami ilmu kerana sekiranya mereka tidak dapat menimba ilmu, mereka merasakan sesuatu kekurangan yang ada pada diri mereka. 


Orang yang berilmu juga berusaha menjadikan diri mereka berilmu dan berkongsi kepada orang yang memerlukan ilmu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. 


Mudah-mudahan dengan apa yang dicoretkan disini menjadi manfaat untuk kita semua. Insya Allah. 




   

maaf sekiranya tulisan didalamnya ada yang kecil dan ada yang besar.